18 May, 2009

SELESEMA BABI (SWINE INFLUENZA)

Cikgu Norazwani selaku ketua Unit Kesihatan telah memberikan sedikit penerangan mengenai penyakit yang telah merebak di beberapa negara di dunia pada 13 Mei di perhimpunan sekolah kepada murid-murid. Info ini telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia versi 2.0 yang bertarikh 30 April 2009.

Antara persoalan yang perlu murid ketahui ialah mengenai :

1. Apakah selesema babi?

Selesema babi adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit di kalangan babi dan disebabkan oleh virus influenza A.

Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar memlalui babi yang asimptomatik ( tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus selesema babi ).

2. Apakah tanda dan gejala selesema babi pada manusia?

Tanda dan gejala selesema babi pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu .

3. Bagaimana manusia boleh dijangkiti?

Manusia selalunya dijangkiti selesema babi melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus selesema babi. Terdapat kes di mana manusia yang tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya. Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan rapat di kalangan manusia dan di dalam kumpulan-kumpulan kecil.

4. Adakah terdapat vaksin bagi melindungi manusia daripada jangkitan selesema babi?

Tidak ada.

5. Apakah yang boleh dilakukan untuk melindungi diri daripada sakit?

  • Jika anda batuk atau bersin, tutup hidung atau mulut anda dengan tisu atau sapu tangan. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Basuh tangan dengan sabun dan air bersih.
  • Amalkan kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkholo juga boleh digunakan.
  • Elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.
  • Jika anda sakit kerana selesema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
  • Segera mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit ini setelah pulang dari negara atau kawasan yang dijangkiti selesema babi.

No comments:

#SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH
SESI 2014